admin

admin

(19 comments, 197 posts)

This user hasn't shared any profile information

Posts by admin

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

TIMBALAN PERDANA MENTERI

MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41

PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK

TEMA: “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI

PENDIDIKAN NEGARA”

 

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, MB Perak;

Yang Berhormat Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran I;

Yang Berhormat Dr. Haji Mohd Puad bin Zarkashi, Timb. Menteri Pelajaran II;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha Kementerian

Pelajaran Malaysia;

Yang Berbahagia Dato’ Sri Abdul Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah

Pelajaran Malaysia;

Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd. Idris bin Haji Ramli, Timbalan Pengarah

Jabatan Pelajaran Negeri Perak

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah

Pelajaran Malaysia,

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian

Pelajaran Malaysia, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri,

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puanpuan

dan para pendidik yang saya hormati sekalian.

 

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah izin

dan kurnia-Nya, dapat kita sama-sama berkumpul di Bandar DiRaja Kuala

Kangsar, Perak pada hari ini sebagai tanda pengiktirafan dan terima kasih kita

yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru, warga

Kementerian Pelajaran dan semua insan yang bergelar pendidik di negara kita.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri DiRaja Dr.

Haji Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak atas kesudian kerajaan negeri

Perak menjadi tuan rumah sambutan Perayaan Hari Guru yang ke-41 pada

tahun ini.

 

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan

tahun dari sekarang, negara kita akan melalui satu fasa transformasi penting

yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju

apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda

dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam

persekitaran global yang lebih mencabar.

 

3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit

cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah

bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang

terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita

mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan

mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di

negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang

untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.

 

4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha

meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu

bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya

wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan,

berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang

akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak

merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan

negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan

kemakmuran masa depan kita bersama.

 

5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan.

Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang

bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan

berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk

negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa

kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan

murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan

numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi

bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan

tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah

menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan

pendidikan negara.

(more…)

Bekas Pengerusi SPR Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012

KUALA KANGSAR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Omar Mohd Hashim hari ini dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2012, atas kelebihan dan kekuatan beliau terutama dalam aspek kepimpinan yang cemerlang.

Omar, 77, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Guru 2012 peringkat kebangsaan yang bertemakan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara, di Dewan Jubli Perak di sini.
Beliau yang menjadi Penasihat Perkumpulan Bekas Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran, mula menjejak langkah ke dalam bidang pendidikan mengajar di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah, pada tahun 1962.
Apabila bakat kepimpinannya terserlah, Omar terus diberi kepercayaan mengetuai beberapa organisasi antaranya sebagai Pengarah Pelajaran Sabah dan Johor serta Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Kecemerlangan perkhidmatannya dibuktikan apabila beliau sebelum ini pernah menerima anugerah Tokoh Guru Pulau Pinang, Tokoh Penaksiran Pendidikan Malaysia, Felo Terutama Institut Aminuddin Baki dan Felo Persatuan Sejarah Malaysia.

Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sekolah Menengah mendapat pendidikan awal pada tahun 1946 di Sekolah Melayu Permatang, Sekolah Arab Daeratul Maarif Wataniah dan Sekolah Francis Light, Pulau Pinang dan seterusnya ke peringkat menengah di Sekolah Penang Free.
(more…)

24,053 guru naik pangkat mulai bulan depan: Muhyiddin

KUALA KANGSAR: Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dinaikan pangkat mulai Jun hingga hujung tahun ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kenaikan pangkat itu membabitkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

Beliau turut mengumumkan 3,085 pengetua gred DG48 ke DG52 dan penolong pengetua gred DG44 ke DG48 akan diperakukan untuk kenaikan pangkat secara berperingkat mulai bulan depan.

Guru terbabit boleh menyemak status kenaikan pangkat di laman web Kementerian Pelajaran.

-bharian

Guru berinovasi adalah guru berkualiti: Muhyiddin

KUALA KANGSAR: Guru berinovasi adalah guru yang berkualiti dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan ilmu dan inovasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru berinovasi mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi.

“Dalam konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru 2012 peringat kebangsaan bertemakan ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan baru yang lebih berkesan.

“Keutamaan guru berinovasi adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata,” katanya.

“Guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir,” katanya.

Muhyiddin berkata, guru yang berupaya menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar juga adalah guru berinovasi.
“Guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata,” katanya.

Sekiranya semua guru di negara ini adalah guru inovasi, Muhyiddin yakin matlamat untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan berketrampilan akan tercapai.

Katanya, bagi memantapkan budaya inovasi di sekolah, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk menyemai budaya inovatif dan kreatif di kalangan murid.

Muhyiddin berkata, menerusi pelan ini, sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif.

“Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kementerian dengan Agensi Inovasi Malaysia untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program i-Think juga adalah pendekatan baru yang sesuai digunakan oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan di kalangan murid.

“Program ini sudah dirintis di 10 sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Pada sambutan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Datuk Omar Mohd Hashim serta Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan kepada Datuk Hassan Harun.

Sementara itu, empat bekas pendidik pula menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2012 iaitu Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Mary Yap Kain Ching, Mohd Azman Abdul Rashid dan Lim Ia Lee @ Lim Irene. – BERNAMA

Perutusan Hari Guru 2012 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.

2. Pada tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

3. Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
(more…)

Hampir 100 peratus guru pelatih penuhi syarat kursus

UPSI guna pendekatan berkesan, inovatif jamin graduan berkualiti dan berdaya saing

HAMPIR 100 peratus daripada 53,000 guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengikuti kursus dalam satu masa di 27 kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara berjaya menamatkan pengajian.

Rektor IPGM, Datuk Dr Haili Dolhan, berkata daripada jumlah itu, hanya satu peratus daripada mereka gagal menamatkan kursus antaranya disebabkan masalah kesihatan dan disiplin.

Katanya, semua yang menamatkan kursus pula mudah memenuhi pasaran kerjaya berikutan pengambilan pelajar mengikut unjuran keperluan guru setiap lima tahun yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, hampir 100 peratus guru terbabit juga memiliki jiwa pendidik dan meminati profesion keguruan, bukannya golongan yang terpaksa memilih kerjaya berkenaan bagi mengelak menjadi penganggur.

“Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Dengan Kepujian) yang ditawarkan di IPG juga memberi kesan positif hasil penilaian dua kohort yang berjaya menamatkan pengajian.

“Pengajian ini bukan saja diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), malah modul latihannya lebih seimbang melatih generasi muda cemerlang akademik dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di IPGM, Cyberjaya, Putrajaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata kira-kira 96 peratus graduan universiti itu berjaya diserap sebagai tenaga pengajar sebaik menamatkan pengajian.

Katanya, UPSI menggunakan pendekatan berkesan dan inovatif bagi menjamin kualiti graduan supaya lebih berdaya saing dan berupaya mengajar lebih daripada satu subjek.

Mengulas isu berkaitan sistem pendidikan yang terlalu berorientasi peperiksaan, bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik, berkata kaedah berkenaan dikhuatiri menjejaskan usaha kerajaan melahirkan modal insan seimbang akademik dan sahsiah.

Dasar seumpama itu kata beliau, menyebabkan pelajar hanya memikirkan peperiksaan hingga dibebani kerja rumah yang banyak bagi memastikan mereka memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

Guru pula katanya, memberikan latihan berterusan itu menyebabkan mereka tidak ada masa beriadah dan mengenepikan aktiviti kokurikulum yang perlu diseimbangi untuk melahirkan generasi muda serba boleh

 

-bharian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
admin's RSS Feed
Go to Top