Posts tagged buku teks ditarik semula
Novel Interlok terus diguna
Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam semalam mengenai isu penggunaan novel Interloksebagai komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima.
Pagi ini, saya, Palanivel dan Subramaniam telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini.
Dalam semangat muafakat Barisan Nasional, kita telah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
Namun, mengambil kira pandangan MIC, kita juga telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.
Untuk itu, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
Panel ini akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India. Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat.
Sementara pindaan ini disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid. Novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah. Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini.
Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambil kira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
27 Januari 2011
Sumber: http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_content&task=view&id=228&Itemid=1
‘Interlok’ – Buku sastera tingkatan 5 ditarik semula
KUALA LUMPUR: Penarikan buku teks sastera Tingkatan Lima bertajuk “Interlok” yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil. “Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, DBP, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah. “Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Disember lalu.
Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman berkenaan sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.
Murugiah berkata isu penarikan buku berkenaan sudah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.
“Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagi tahu dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.
“Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik),” katanya.
Buku “Interlok” karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Disember lalu.
Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India. – BERNAMA

