Posts tagged Jambori kem telaga batin
Agong rasmi Jambori Malaysia di Terengganu
KUALA TERENGGANU: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan untuk merasmikan Jambori Malaysia ke-12 dan Terengganu International Scout Jamboree 2011 di Kem Pengakap Telaga Batin di sini pada 21 November depan.
Setiausaha Kerja 1 Jambori, Mohamad Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, Tuanku Mizan yang juga Penaung Utama Persekutuan Pengakap Malaysia memberi perkenan kepada kerajaan negeri untuk menjadi tuan rumah jambori kali kedua selama seminggu bermula 19 November itu.
Mohamad yang juga Setiausaha Kehormat Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT) berkata, Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan yang adalah Penaung MPNT berkenan menyertai jambori itu.
Sehingga ini 25 negara menunjukkan minat dan komitmen untuk menyertai jambori itu membabitkan kira-kira 11,000 peserta.
Mohamad berkata, selain semua negeri di negara ini mengambil bahagian, negara lain yang turut serta termasuk Singapura, Vietnam, Jepun, Nepal, Hong Kong, Mesir, Indonesia, Kazakhstan, Brunei dan Sri Lanka.
“Penyertaan peserta dibuka sehingga penghujung bulan ini,” katanya.
Katanya, Kem Telaga Batin memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 83 buah bilik, 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat. – BERNAMA
11 negara akan sertai Jambori Malaysia ke-12 di Terengganu
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 11 negara akan mengambil bahagian dalam Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011 selama tujuh hari mulai 19 November depan di Kem Telaga Batin, Seberang Takir, di sini.
Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Datuk Abdullah Taib, berkata negara itu ialah Singapura, Vietnam, Jepun, Nepal, Hong Kong, Maldives, Mesir, Indonesia, Kazakhstan, Brunei dan Sri Lanka yang membabitkan 361 peserta.
“Peserta dalam negara pula membabitkan semua negeri dengan jumlah peserta hampir 10,000 orang,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu 2011 di Kem Telaga Batin, hari ini.
Abdullah berkata, penyertaan peserta dari negara luar dan dalam negeri masih dibuka sehingga penghujung bulan ini.
Beliau berkata, Kem Telaga Batin memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 83 buah bilik, 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat. – BERNAMA