Posts tagged sultan kedah jadi agong

Tuanku Abdul Halim Lafaz Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-14

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) — Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah pada Selasa melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa Selasa, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Isnin.
(more…)

Sultan Kedah Dipilih Sebagai Yang Di-pertuan Agong Ke-14

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini Jumaat.

Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Dis depan untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.

Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950-an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Okt 1969.

– BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Go to Top