PUTRAJAYA, 20 Dis (Bernama) — Program Jualan Kembali ke Sekolah yang di adakan serentak di 38 tempat di seluruh negara mampu, mengurangkan beban ibu bapa terutamanya yang berpendapatan rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program yang julung kali diadakan itu menawarkan 10 hingga 20 peratus diskaun.

“Ia merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan bebanan pengguna terutama ibu bapa sewaktu kos sara hidup meningkat. Apabila sekolah dibuka bebanan ibu bapa bertambah daripada biasa dalam mendapatkan pakaian dan peralatan untuk sekolah.

Dengan program ini mereka dapat membeli dengan lebih murah,” katanya selepas majlis pelancaran ‘Jualan Kembali ke Sekolah’ di bangunan KPDNKK, Presint 2, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 19 syarikat membuka 50 buah gerai pada jualan itu, yang menjual keperluan barangan sekolah seperti pakaian, kasut, beg dan alat tulis .

Program itu yang bermula hari ini sehingga 24 Dis dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya, ia juga bertujuan menggiatkan aktiviti perniagaan negara bagi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan akan menanggung subsidi petrol sekiranya harga pasaran bahan api itu meningkat dalam masa terdekat.

Harga minyak mentah telah mencecah lebih USD100 (RM300) pada awal bulan ini berikutan krisis hutang Eropah tetapi menyusut di bawah USD93 (RM279) hari ini di Asia apabila pasaran saham ditutup rendah selepas pengumuman kematian pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il.

“Kita tak bincang, tak sentuh apa-apa mengenai perkara itu. Kalau ia naik kita tambah subsidi. Tapi setakat ini tak ada apa-apa. Ia masih turun naik, turun naik,” katanya.

– BERNAMA

Facebook comments: